21 MEI : Prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) suku pertama sebanyak 5.0 peratus dan petunjuk ekonomi terkini menunjukkan pemulihan ekonomi sudah bermula.
Menurut Laporan Kewangan Rakyat (LKR) ke-95 yang diterbitkan, hari ini, ekonomi Malaysia tahun ini dijangka berkembang antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus, disokong oleh permintaan dalam negeri yang lebih tinggi dan sokongan daripada permintaan luar, peningkatan aktiviti ekonomi serta pasaran buruh yang terus pulih.
“Susulan sempadan antarabangsa kembali dibuka, sektor pelancongan juga akan kembali pulih.
“Peningkatan aktiviti perdagangan akan memberi impak positif kepada sektor perkhidmatan,” menurut laporan itu.
Selain itu, pertumbuhan juga dibantu langkah-langkah Bajet 2022 yang mengembang, projek yang mempunyai kesan pengganda tinggi serta program pembangunan bawah Rancangan Malaysia Ke-12 (RMK-12)
“Bagaimanapun, kita masih perlu berhati-hati terhadap perkembangan global dan geopolitik terkini yang boleh menjejaskan momentum pemulihan ekonomi negara, terutama inflasi apabila harga komoditi terus meningkat, dan juga gangguan rantaian bekalan,” katanya.
Justeru, kerajaan akan terus memantau perkembangan pelbagai risiko ekonomi, supaya kejutan luaran yang boleh memberi kesan ke atas kesejahteraan rakyat dan perniagaan dapat diuruskan, menurut laporan itu.
Sementara itu, laporan berkenaan menyebut Kementerian Kewangan amat menitikberatkan kesedaran amalan alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG), Matlamat Pembangunan Mampan (SDG) dan Prinsip Tadbir Urus yang Baik (PGG) bagi mencapai matlamat seperti kepelbagaian, kesaksamaan, pemeliharaan alam sekitar atau membantu golongan kurang bernasib baik.
“Bagi meningkatkan kesedaran mengenai SDG, kementerian telah mengambil beberapa langkah, termasuk mengenal pasti jurang pembiayaan sedia ada program dan projek berkaitan SDG pada peringkat kementerian.
“Kementerian telah memadankan semua program dan projek bawah Perbelanjaan Pembangunan Kementerian kepada SDG yang bersesuaian,” jelas laporan itu.
Ia juga sebahagian daripada usaha mewujudkan prinsip kelestarian dalam perbelanjaan awam, menurut laporan itu.
Kementerian Kewangan memperuntukkan RM450 juta melalui Bajet 2022 bagi pemuliharaan alam sekitar dan biodiversiti, termasuk penanaman pokok dan projek pemuliharaan alam semula jadi.
Melalui kolaborasi dengan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), kementerian susdah menubuhkan Malaysia Sustainable Development Goals Trust Fund (MySDG Fund) dengan peruntukan awal RM20 juta kepada Kumpulan Wang Amanah MySDG.
Bagi PGG pula, inisiatif prinsip tadbir urus yang baik akan membina daya tahan syarikat untuk menghadapi cabaran masa depan, terutama dari segi memberi panduan kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) dalam ekosistem GLIC bagi mencapai matlamat ESG dan SDG Malaysia.
“Ini penting bagi memastikan syarikat bersedia menghadapi peningkatan permintaan pasaran berkenaan ESG, di mana prinsip tadbir urus yang baik mencadangkan penubuhan struktur tadbir urus bagi pengawasan ESG dalam strategi pelaburan mereka.
“Yang sama penting dan perlu ditekankan adalah keperluan untuk meningkatkan kapasiti serta kepakaran mengenai ESG dalam memastikan kelangsungan usaha ini pada masa depan,” jelasnya.
Menurutnya, ada pelbagai data menunjukkan bahawa syarikat yang memberi tumpuan kepada isu ESG, telah berjaya mengurangkan kos, meningkatkan produktiviti pekerja, mengurangkan pelbagai risiko, dan mencipta lebih banyak peluang perniagaan.
Pandemik COVID-19 juga banyak membuktikan bahawa syarikat yang sentiasa bersiap siaga dan mengamalkan tadbir urus atau ‘governance’ yang baik, memiliki kelebihan dari segi daya tahan.
Dalam jangka panjang, ini akan meningkatkan keuntungan syarikat dan memastikan kelangsungan perniagaan.
LKR merupakan penjenamaan semula bagi laporan Unit Pelaksanaan dan Koordinasi Stimulus Ekonomi Antara Agensi Nasional (LAKSANA) yang diterbitkan oleh Kementerian Kewangan secara mingguan sejak April 2020. – BERNAMA