21 MEI : Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan mengkaji secara teliti vaksin NawsonVacc yang dibangunkan oleh seorang doktor dari India, Dr Alfred John Prem Raj yang dikatakan mampu menghilangkan simpton COVID-19 dengan kaedah semburan.
Menurut Timbalan Menteri Kesihatan, Datuk Dr Noor Azmi Ghazali, kajian secara terperinci akan dilakukan sebelum vaksin berkenaan digunakan di negara ini.
“Sebarang keputusan sama ada untuk membawa masuk atau membuat vaksin itu akan melalui kajian yang rapi sebelum membuat sebarang keputusan.
“Kita ada Bahagian Regulatori Farmasi Negara (NPRA), Farmasi dan Pihak Berkuasa Peranti Perubatan (MDA) yang akan mengkaji sebarang teknik atau kaedah rawatan berkaitan COVID-19.
“Selain program vaksinasi, kerajaan juga telah membeli ubat antivirus Paxlovid yang terbaru dan berkesan sehingga dapat mengurangkan kes hospital sebanyak 80 peratus,” katanya.
Beliau berkata demikian selepas merasmikan Mesyuarat Agung Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG), Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Abu Bakar Al Baqir, di sini, hari ini.
Selain program vaksinasi, kata Dr Noor Azmi , kerajaan juga membeli ubat antivirus Paxlovid yang terbaru dan cukup berkesan di mana ianya dapat mengurangkan kes hospital sebanyak 80 peratus.
Mengulas tentang Program Imunisasi COVID-19 Kebangsaan Kanak-Kanak (PICKids), jelasnya KKM tidak bercadang untuk melanjutkan program tersebut yang dijadualkan berakhir hujung bulan ini.
“KKM sudah memberi masa yang cukup kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan vaksinasi secara percuma.
“Jika selepas ini ibu bapa mahu mendapatkan suntikan vaksin COVID-19 bagi anak mereka, katanya, mereka perlu ke klinik swasta dengan bayaran tertentu.
“Setakat ini kita tidak berhasrat untuk buat (lanjutan). Tempoh yang sepatutnya berakhir pada 15 Mei yang lalu telah dilanjutkan hingga 31 Mei ini, adalah disebabkan memberi peluang kepada ibu bapa untuk membawa anak mereka mendapatkan suntikan vaksinasi,” ujarnya.