21 MEI : Kementerian Pengangkutan (MOT) sedang mempertimbangkan permintaan untuk cadangan (RFP) membabitkan projek Pelabuhan Bersepadu Labuan yang dirancangkan di Rancha-Rancha.
Menteri Datuk Seri Wee Ka Siong berkata agensi kementeriannya iaitu Lembaga Pelabuhan Labuan (LPA) akan menghasilkan garis panduan lengkap RFP untuk pembida yang berminat.
“Saya perlu menunggu garis panduan RFP daripada LPA dan seterusnya akan meminta RFP untuk menjemput penyokong projek bagi memberi pilihan terbaik serta kemudian, LPA akan mengkaji dan menilainya untuk pengesahan MOT,” katanya kepada media selepas menyaksikan upacara menandatangani perjanjian antara Victoria STA Sdn Bhd dan Fendercare Marine Asia Pacific Pte Ltd berkenaan kerjasama dalam pemindahan kargo dari kapal ke kapal.
Pada Mei 2012, Timbalan Menteri Pengangkutan ketika itu iaitu Datuk Abdul Rahman Bakri semasa lawatannya di sini berkata cadangan pelabuhan bersepadu itu dianggarkan akan menelan belanja sebanyak RM1.4 bilion dan dibina di tapak seluas 209 hektar.
Apabila selesai, kemungkinan ia akan dikendalikan oleh syarikat yang mempunyai rangkaian yang luas dan berkedudukan mantap dalam menarik pemilik kapal menggunakan pelabuhan tersebut.
Wee juga berkata isu kekurangan kapal yang mahu berlabuh di pelabuhan Labuan akan dikaji dengan teliti.
“Yang penting, kami perlu mempunyai jumlah kargo yang mencukupi, kemudahan lengkap dan lebih baik di pelabuhan bagi menarik lebih banyak kapal untuk datang ke pelabuhan kami… kami perlu mempunyai perancangan yang komprehensif dalam menyelesaikan masalah ini,” katanya.
Wee juga menekankan keperluan untuk memudahkan protokol kemasukan (prosedur operasi standard) yang lebih munasabah ke atas kapal yang singgah di pelabuhan, jika ia terlalu ketat dan tidak serupa dengan pelabuhan lain, ini akan membantutkan niat pengendali kapal untuk berlabuh.
Sementara itu, Wee berkata kementeriannya prihatin atas ketiadaan tutor bagi pemohon Lesen Pemandu Barang (GDL) di Labuan.
“Saya telah memanggil Ketua Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (RTD) Datuk Zailani Hashim untuk mengkaji isu ini dan menghasilkan penyelesaian yang lebih baik.
“Ketiadaan tutor untuk mengajar teori enam jam di Labuan telah memaksa pemohon pergi ke Kota Kinabalu dan ini menyebabkan mereka menanggung perbelanjaan yang lebih tinggi… kami akan berusaha sebaik mungkin bagi memudahkan mereka,” katanya.- BERNAMA