22 MEI: Empat pelajar sebuah sekolah menengah di Sikamat, Seremban yang didakwa mencederakan seorang pelajar Tingkatan Satu pada 13 Mei lalu dijangka dituduh di Mahkamah Majistret Seremban esok.
Difahamkan, tiga daripada mereka merupakan pelajar Tingkatan Empat dan seorang lagi Tingkatan Tiga yang tinggal di asrama sekolah terbabit.
Ketua Polis Daerah Seremban, Asisten Komisioner Nanda Maarof yang mengesahkan perkara itu berkata, kesemua mereka dituduh mengikut Seksyen 323 Kanun Keseksaan dan dibaca bersama Seksyen 34 Kanun Keseksaan.
“Berdasarkan maklumat, mereka akan dituduh dan selepas itu diberi jaminan untuk laporan akhlak sebelum tarikh baharu ditetapkan untuk dijatuhkan hukuman.
“Seorang lagi pelajar Tingkatan Lima akan memberi keterangan sebagai saksi,” katanya.
Media melaporkan semalam seorang bapa mendakwa sebuah sekolah menengah di Sikamat seolah-olah berat sebelah dalam mengambil tindakan terhadap pelajar senior yang membuli anaknya.
Dalam kejadian 13 Mei itu, Pelajar Tingkatan Satu dipukul dan disepak oleh tiga pelajar Tingkatan Empat dan seorang pelajar Tingkatan Tiga sehingga mengalami lebam pada badan.