22 MEI: Mesyuarat Kabinet akan diadakan esok khusus bagi membincangkan mengenai peningkatan harga barang dan kos sara hidup, kata Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob.
Perdana Menteri berkata, beliau telah mengarahkan Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna serta Menteri Pertanian dan Industri Makanan membentangkan pelan bagi mengatasi masalah kenaikan harga barang dan bekalan bahan mentah termasuk ayam yang kritikal ketika ini.
“Esok, saya percepatkan Mesyuarat Kabinet, kerana isu yang banyak sekarang ini bukan hanya membabitkan ayam semata-semata tetapi dua isu membabitkan kos sara hidup yang kita jangka meningkat.
“Ini adalah masalah fenomena global…masalah perang dan sebagainya…sudahlah pandemik tidak boleh keluarkan makanan dan bila elok (pulih) sikit, tiba-tiba perang,” katanya pada sidang media selepas merasmikan Simposium Pengantarabangsaan Bahasa Melayu di Dewan Bahasa dan Pustaka (DBP) di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau menambah, kerajaan juga sedang mengkaji memansuhkan kelulusan kuota import (AP) bagi beberapa barang lain selepas pemansuhan keperluan itu terhadap bahan makanan berkuat kuasa serta-merta pada Rabu lalu.
Katanya, langkah itu diharap dapat mengurangkan tekanan terhadap bekalan dan harga barangan.