22 MEI: Negara anggota ASEAN perlu memperkukuh kesepakatan dalam memastikan keselamatan dan kestabilan serantau dapat dikekalkan.
Menteri Kanan Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein berkata, pendekatan tersebut penting bagi mengelakkan ASEAN diperlekeh negara kuasa besar.
“Sekiranya 10 negara ASEAN ini dapat bersatu (dalam isu pertahanan) dan diperkukuhkan, pasti kestabilan serta keselamatan negara serantau sentiasa harmoni.
“Negara yang kita ada hubungan dua hala juga perlu dirintis dan diterjemahkan dalam tindakan yang proaktif seperti eksesais yang kita jalankan hari ini,” katanya selepas menyaksikan pelaksanaan Eksesais Taming Sari Siri 21 tahun 2022 di perairan Selat Melaka Utara hari ini.
Mengulas lanjut, Hishammuddin berkata, kedudukan Malaysia yang berada di lokasi strategik di tengah negara kuasa besar diiktiraf menerusi penyertaan Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dalam eksesais berterusan bersama banyak negara.
Tembakan misil EXOCET M-M-40 yang dilancarkan dari KD Lekir tepat mengenai sasaran yang berada pada jarak 20 batu nautika atau 36 kilometer.
“Antara eksesais dilaksanakan dan disertai TLDM bermula Januari hingga Mei termasuk Passage Exercise (PASSEX) bersama Tentera Laut Jerman di Perairan Selat Melaka dan PASSEX bersama Tentera Laut Perancis di Perairan Laut China Selatan.
“Mereka juga menyertai Milan 22 bersama Australia, China, Jepun, Korea Selatan dan Singapura di Visakhapatnam, India,” katanya.
Dalam pada itu, beliau berkata, TLDM juga akan menghantar kapal KD Lekir bagi menyertai eksesais Rim of The Pacific (RIMPAC) di Kepulauan Hawaii, Amerika Syarikat pada 29 Jun hingga 4 Ogos depan.
Eksesais Taming Sari yang dijalankan melibatkan 1,250 warga TLDM, Tentera Udara Diraja Malaysia dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia dengan penyertaan 10 buah kapal, lima fast combat boat, tiga pesawat TLDM, tiga pesawat TUDM dan dua pesawat APMM.
Penembakan yang dilakukan menggunakan misil EXOCET M-M-40 yang dilancarkan dari KD Lekir tepat mengenai sasaran yang berada pada jarak 20 batu nautika atau 36 kilometer.