22 MEI: Prasarana Malaysia Berhad (Prasarana) telah menubuhkan satu jawatankuasa siasatan terhadap kejadian berulang LRT laluan Kelana Jaya yang tergendala pada Jumaat lalu.
Menteri Pengangkutan, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong berkata, jawatankuasa itu terdiri daripada agensi siasatan luar termasuk syarikat pengeluar tren itu bagi mengenal pasti masalah utama tren tersebut.
Menurut beliau, jawatankuasa ini turut mengundang perunding luar untuk menyelesaikan masalah yang berlaku dan dijangka memulakan kerja pada Selasa depan.
“Dalam tempoh dua minggu kita nak tahu apa masalahnya, ini mungkin indikasi kerana Pusat Kawalan Operasi (OCC) terima isyarat termasuk kita akan teruskan berhenti.
“Tren itu tidak akan diteruskan perjalanan kerana ini ada sesuatu yang kita kena ambil maklum,” katanya selepas mengadakan lawatan di Stesen Transit Aliran Ringan (LRT) Ampang Park, hari ini.
Ka Siong berkata, Prasarana telah mempelawa satu pasukan perunding luar bersama-sama dengan syarikat pengeluar peralatan asli (OEM) di China untuk melihat punca perkara ini berlaku.
“Dari situ kita akan pastikan tindakan susulan diambil, ada juga kesulitan untuk mendapatkan alat ganti.
“Apa yang penting isu utama harus dikenal pasti dan apa yang menyebabkan berlakunya kebocoran brek hidraulik. Jadi kita kena beri tumpuan secara khusus untuk menyelesaikan masalah ini,” jelasnya.
Kejadian yang berlaku pada waktu puncak Jumaat lepas telah menjejaskan lebih 22,000 penumpang.
Ia adalah insiden kali kedua berlaku dalam tempoh tidak sampai sebulan, akibat masalah angkup brek (brake caliper) yang tidak berfungsi ketika tren beroperasi, menjadikan tren tidak selamat untuk meneruskan perjalanan.