22 MEI: Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) telah menyerahkan kertas siasatan kes membabitkan Hakim Mahkamah Rayuan, Datuk Mohd Nazlan Mohd Ghazali kepada pihak Jabatan Peguam Negara.
SPRM melalui kenyataan berkata, kertas siasatan itu diserahkan pada 18 Mei lalu selepas pihaknya melengkapkan siasatan mengenai dakwaan sumber kekayaan yang tidak dijelaskan membabitkan Mohd Nazlan.
“SPRM ingin memaklumkan bahawa siasatan kes ini bermula Mac lalu sudah dilengkapkan berdasarkan bukti-bukti yang dikumpulkan, dengan siasatan dijalankan mengikut panduan dan prosedur ditetapkan.
“Sehubungan itu, kertas siasatan telah dikemukakan kepada Jabatan Peguam Negara pada 18 Mei lalu untuk kajian dan arahan selanjutnya,” katanya.
SPRM sebelum ini dilapor membuka kertas siasatan terhadap Mohd Nazlan.
Terdahulu, Mohd Nazlan membuat laporan polis menafikan tuduhan dibuat penulis blog, Raja Petra Kamarudin mengenai dakwaan ada sejumlah wang yang tak dapat ditentukan punca dalam akaunnya.