23 MEI: Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur, hari ini menolak kes saman fitnah RM10 juta yang difailkan bekas Peguam Negara, Tan Sri Mohamed Apandi Ali terhadap bekas Penasihat DAP, Lim Kit Siang berhubung artikel berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Hakim Datuk Azimah Omar memutuskan demikian selepas mendapati Kit Siang sebagai defendan mempunyai justifikasi dalam membangkitkan isu 1MDB menerusi artikel bertajuk “Dangerous fallacy to think Malaysia’s on the road to integrity”, yang diterbitkan di blognya pada 5 Julai 2019.
Mahkamah juga mengarahkan Apandi membayar RM80,000 kos guaman kepada Kit Siang.
Mohamed Apandi memfailkan saman fitnah terhadap Kit Siang dan berdasarkan pernyataan tuntutannya pada 6 Mei 2019.
Mohamed Apandi mendakwa perkataan yang dikatakan fitnah dalam artikel itu antara lain membawa maksud beliau terbabit jenayah dan bersubahat dalam skandal kewangan 1MDB, seorang yang tidak mempunyai moral dan integriti, tidak beretika dan menyalahgunakan kuasanya sebagai Peguam Negara pada masa itu.