23 MEI: Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri, Senior Asisten Komisioner Nik Ezanee Mohd Faisal akan kembali bertugas di Bukit Aman bermula 1 Jun ini.
Nik Ezanee bakal memegang jawatan Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman.
Pengarah Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) Bukit Aman, Datuk Aidi Ismail berkata, arahan pertukaran Nik Ezanee dikeluarkan pada 17 Mei lalu.
“Beliau akan mula bertugas sebagai Ketua Penolong Pengarah Pendataan/Analisa Jabatan Pencegahan Jenayah dan Keselamatan Komuniti (JPJKK) bermula 1 Jun ini,” katanya hari ini.
Timbalan Ketua Polis Negara, Datuk Razarudin Husain @Abd Rasid dilaporkan mengesahkan pertukaran bekas Ketua Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Negeri Selangor itu.
Nik Ezanee yang merupakan Pegawai Juruiring (ADC) kepada Perdana Menteri itu bertugas sejak Disember lalu.