23 MEI : Tindakan tegas akan diambil terhadap mana-mana pihak yang melanggar Akta Kawalan Bekalan 1961 (Akta 122) dan (Peraturan Peraturan Kawalan Bekalan 1974 ) .
Kesalahan tersebut akan memperuntukkan penalti bagi individu didenda tidak melebihi RM1 juta ringgit atau dikenakan hukuman penjara tidak melebihi 3 tahun, manakala bagi perbadanan/syarikat boleh dikenakan denda tidak melebihi RM2 juta ringgit.
Sehubungan dengan itu, Kerajaan menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, akan meminta MAFI dan KPNDHEP melakukan pemantauan dan pemeriksaan serta mengambil tindakan tegas terhadap mana-mana pihak yang terbabit didapati melakukan kesalahan tersebut.
“Pihak Kerajaan kesal dan kecewa terhadap tindakan beberapa buah syarikat yang menghentikan bekalan ayam sehingga menyebabkan berlakunya peningkatan harga dan kekurangan bekalan di pasaran.
“Saya ingin menegaskan bahawa Kerajaan tidak akan berkompromi dengan mana-mana pihak yang cuba menjejaskan kehidupan rakyat.
“Sehubungan itu, saya memohon agar Keluarga Malaysia menyokong tindakan yang dilakukan oleh pihak Kerajaan ini demi menjaga kepentingan rakyat yang terhimpit dengan peningkatan harga dan kos sara hidup serta
kekurangan bekalan,” tegasnya menerusi satu kenyataan hari ini.
Katanya lagi, Kerajaan mengambil berat dan memandang serius terhadap isu peningkatan harga dan bekalan ayam semasa yang menghimpit seluruh Keluarga Malaysia.
“Kerajaan sedar terdapat laporan bahawa wujud kartel yang mengawal harga dan pengeluaran ayam dalam kalangan syarikat besar. Suruhanjaya Persaingan Malaysia (MyCC) sedang menyiasat perkara ini dan siasatan dijangka selesai pada bulan Jun ini.
“Jika didapati wujud kesepakatan kartel tersebut, Kerajaan akan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka,” tegas Perdana Menteri.
Ketika ini, Kerajaan telah menetapkan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 seekor dengan pemberian subsidi sebanyak RM729.43 juta di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia (SKHKM) yang dilaksanakan sejak 5 Februari lalu.