24 MEI: Larangan eksport 3.6 juta ekor ayam sebulan ke negara luar akan dinilai semula selepas bekalan ayam dalam negara kembali stabil.
Menteri Pertanian dan Industri Makanan, Datuk Seri Dr Ronald Kiandee berkata, larangan eksport itu hanya bersifat sementara dan keputusan tersebut dibuat bagi memastikan bekalan ayam dapat distabilkan segera.
“Keperluan bekalan ayam dalam negara adalah lebih kurang 1.8 hingga 2 juta sehari. Jadi langkah (sekat eksport) merupakan langkah sementara yang akan dikaji sebaik sahaja bekalan ayam negara kembali stabil. Ini untuk memastikan kita boleh capai keperluan negara.
“Kita akan pantau (bekalan ayam). Perlu faham ayam memerlukan 35 hingga 40 hari (kitaran tumbesaran sebelum boleh dijual,” katanya pada Majlis Ramah Mesra Aidilfitri Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) di Putrajaya hari ini.
Dalam pada itu, beliau berkata, kerajaan belum bercadang menubuhkan pasukan khas bagi memantau bekalan ayam.
“Kita akan wujudkan jika perlu (pasukan khas). Ketika ini Jabatan Perkhidmatan Veterinar (DVS) dipertanggungjawabkan untuk melihat keadaan ini dan memantau setiap masa.
“DVS memang berfungsi untuk melihat pengeluaran ayam dan juga ternakan lain,” katanya.
Mengulas lanjut, beliau berkata, industri ayam dan telur merupakan industri yang stabil di negara ini, namun beliau mengakui wujud kekurangan bekalan disebabkan beberapa masalah seperti mana yang dilaporkan.