24 MEI Seorang bekas diplomat berstatus Datuk dan anak lelakinya ditahan polis susulan penemuan 102 pokok ganja yang ditanam sekitar rumahnya di Janda Baik, Pahang.
Kegiatan suspek berusia 78 tahun itu ditumpaskan pihak polis menerusi Op Tapis sekali gus menjadi rampasan pokok ganja terbesar dalam sejarah narkotik negara kerana sebelum ini kebanyakan rampasan hanya membabitkan pokok ganja yang ditanam dalam pasu.
Kedudukan ladang ganja kira-kira 0.8 hektar itu terpencil selain jauh dari jiran menyebabkan ia sukar dikesan sejak diusahakan pada tahun 2015.
Ketua Polis Pahang, Datuk Ramli Mohamed Yoosuf berkata, serbuan dijalankan anggota Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bentong kira-kira jam 6.10 petang di kediaman suspek Sabtu lalu.
Menurutnya, hasil pemeriksaan di kawasan belakang garaj rumah tersebut, pihak polis menjumpai lima batas tanah yang ditanam tumbuhan disyaki pokok ganja.
Beliau berkata, jumlah keseluruhan rampasan disyaki pokok ganja adalah sebanyak 102 pokok dan nilai anggaran bagi setiap satu pokok adalah RM600 dengan nilai keseluruhan RM61,200.
“Benih ini juga dipercayai daripada ganja yang dimampatkan sekitar tujuh tahun lalu di Kuala Lumpur.
“Hasil ujian saringan awal ke atas sampel air kencing suspek negatif dadah namun berdasarkan siasatan awal polis, suspek mendedahkan menggunakan cecair disyaki minyak ganja dengan mencampurkan beberapa titik ke dalam minumannya sejak tiga tahun lalu,” katanya.
Dalam serbuan itu, suspek yang juga bekas diplomat terbabit ditahan di rumahnya Sabtu lalu manakala anak lelakinya yang berusia 53 tahun pula ditahan di Shah Alam, semalam.
Beliau berkata, suspek kini direman selama tujuh hari bermula 21 Mei hingga Sabtu ini dan disiasat di bawah Seksyen 39B(1)(A) Akta Dadah Berbahaya 1952 yang membawa hukuman mati atau penjara seumur hidup dan sebat tidak kurang 15 sebatan jika sabit kesalahan.
“Suspek juga disiasat di bawah Seksyen 6B akta sama dan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(1)(A) akta sama. Jika disabit kesalahan boleh dihukum di bawah Seksyen 6B(3) akta sama dipenjara seumur hidup dan dan disebat tidak kurang daripada enam sebatan,” ujarnya.