24 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) mengesahkan tidak menerima sebarang laporan berhubung kes jangkitan cacar monyet seorang kanak-kanak di negara ini seperti tular di laman sosial.
KKM menerusi kenyataan di Facebook, menasihatkan waris atau penjaga kanak-kanak yang didakwa dijangkiti cacar monyet ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan.
“Sehingga jam 5 petang Selasa, KKM tidak menerima sebarang notifikasi kes jangkitan cacar monyet.
“Sekiranya gambar tersebut adalah benar, waris kepada kanak-kanak tersebut dinasihati untuk membawanya ke fasiliti kesihatan kerajaan berdekatan dengan segera untuk menjalani pemeriksaan dan mendapatkan rawatan,” katanya.
Sebelum ini, tular di laman sosial tangkap layar yang kononnya seorang kanak-kanak dijangkiti virus berkenaan.
Tambah KKM, orang ramai dinasihati supaya tidak menularkan berita yang tidak diketahui kesahihannya sebaliknya menasihati pesakit atau waris untuk mendapatkan nasihat perubatan terlebih dahulu jika berkaitan penyakit atau lain-lain masalah kesihatan.