24 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menyifatkan anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan yang diterima daripada Universiti Nihon merupakan pengiktirafan kepada seluruh Keluarga Malaysia yang telah bersama-sama berperang dengan COVID-19,
Kata Ismail Sabri menerusi satu kenyataan ringkas di Facebook miliknya, anugerah ini juga akan terus dikenang sebagai simbol yang mencerminkan ikatan persahabatan erat antara Malaysia dan Jepun.
“Sesungguhnya anugerah ini bukanlah untuk saya sahaja, tetapi untuk seluruh Keluarga Malaysia yang bersama-sama berperang dengan COVID-19 yang merupakan musuh yang tidak kelihatan namun berada di sekeliling kita.
“Terima kasih kepada Datuk Bandar Sakamoto dan Encik Naoto di atas penganugerahan ini.
“Saya amat berbesar hati menerima anugerah Ijazah Kehormat Doktor Perubatan daripada Universiti Nihon,” katanya.
Beliau juga menzahirkan rasa syukur apabila segala strategi dan perancangan yang dilaksanakan negara untuk membendung pandemik COVID-19 mendapat pengiktirafan antarabangsa.
“Alhamdulillah dengan segala perancangan dan strategi yang telah ditetapkan, Malaysia juga diiktiraf oleh Bloomberg and Nikkei sebagai salah satu negara terbaik untuk menangani pandemik COVID-19,” ujarnya.