24 MEI: Dua juruterbang jet pejuang F7 Iran maut selepas jet mereka terhempas berhampiran Anarak, 200 kilometer (km) timur bandar Isfahan hari ini, lapor agensi berita rasmi Iran, IRNA.
“Misi jet itu adalah untuk berlatih menembak tetapi berlaku kemalangan pada jam 8:30 pagi (waktu tempatan),” kata seorang pegawai dari wilayah Isfahan kepada IRNA.
Pakar berkata, Iran mempunyai rekod keselamatan udara yang lemah, dengan kemalangan berulang, kebanyakannya membabitkan pesawat yang dibeli sebelum Revolusi Islam 1979.
Masalah tersebut katanya, turut disumbangkan oleh kekurangan alat ganti untuk penyelenggaraan.
Pada Februari, sebuah jet F5 yang digunakan oleh tentera Iran terhempas ke dinding sebuah sekolah di bandar barat laut Tabriz, membunuh dua juruterbang dan seorang di daratan. – REUTERS