24 MEI: Penerbangan pertama bagi jemaah haji Malaysia pada tahun ini dijangka pada 4 Jun ini, berbanding perancangan awal pada 31 Mei, berikutan pengurangan jumlah jemaah yang akan menunaikan Rukan Islam kelima itu berbanding kebiasaannya.
Menteri Di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Idris Ahmad, berkata anjakan tarikh berkenaan juga berdasarkan rundingan dengan syarikat penerbangan.
Beliau berkata, sebelum ini ada kira-kira 80 penerbangan jemaah haji tetapi berkurangan separuh tahun ini.
“Bagi tahun-tahun sebelum ini jumlah jemaah haji kira-kira 30,000 orang. Namun pada tahun ini, jumlah jemaah hanya 14,000 orang.
“Baru sahaja tadi saya bertemu Ketua Pegawai Eksekutif (Tabung Haji) tanya macam mana penerbangan haji dan beliau menjawab kemungkinan akan dianjak kepada 4 Jun kerana dulu 80 penerbangan sekarang dah jadi separuh,” katanya kepada pemberita, di Muar hari ini.
Dalam masa yang sama, Malaysia juga masih menunggu keputusan Kerajaan Arab Saudi berhubung rayuan kuota tambahan 5,000 jemaah, bagi musim haji kali ini. – BERNAMA