25 MEI : Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri yang dalam rangka lawatan kerja rasmi ke Jepun mengadakan pertemuan empat mata bersama rakan sejawatnya dari Singapura, Lee Hsien Loong di Imperial Hotel, Tokyo, pagi ini.
Kedua-dua mereka dijadualkan akan menyampaikan ucaptama Persidangan Nikkei bersama beberapa ketua negara yang lain pada pagi esok.
Lawatan pertama Ismail Sabri ke Jepun selepas dilantik Perdana Menteri pada 21 Ogos lalu, adalah lawatan paling berprofil tinggi ke negara Matahari Terbit itu selepas lebih dua tahun, susulan sekatan perjalanan disebabkan pandemik COVID-19.
Ismail Sabri dijadualkan mengadakan pertemuan dengan rakan sejawatnya, Fumio Kishida, yang baru memegang jawatan itu Oktober lalu dalam lawatannya ini.
Pertemuan secara fizikal itu akan memberikan peluang kepada Malaysia dan Jepun berbincang mengenai inisiatif mengukuhkan lagi hubungan sedia ada antara dua negara dan kolaborasi pelbagai bidang, selain membolehkan kedua-dua pemimpin saling bertukar pandangan berhubung kepentingan ketenteraman antarabangsa dan kestabilan serantau.
Menurut kenyataan Wisma Putra Isnin lalu, agenda utama pertemuan Ismail Sabri dan Kishida termasuk memperingati Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur dan kerjasama pasca COVID-19.
Ketika di Tokyo, Ismail Sabri juga akan menghadiri Persidangan Antarabangsa ke-27 mengenai Masa Depan Asia, perhimpunan tahunan pemimpin politik dan ekonomi serta ketua industri dari rantau Asia Pasifik, atas jemputan Nikkei Inc, selain menyampaikan ucaptama di Persidangan ke-27 Nikkei Future of Asia di Tokyo bertemakan “Redefining Asia’s Role in a Divided World.”
“Lawatan itu mencerminkan kepentingan hubungan Malaysia-Jepun kerana kedua-dua negara memperingati ulang tahun ke-65 hubungan diplomatik dan Ulang Tahun ke-40 Dasar Pandang Ke Timur (LEP) tahun ini,” kata Wisma Putra.
Pada 2021, Jepun adalah rakan dagang keempat terbesar Malaysia dengan nilai perdagangan kira-kira RM149 bilion. Sehingga 2021, Jepun adalah pelabur asing ketiga terbesar Malaysia dalam sektor pembuatan bagi projek dilaksanakan bernilai kira-kira RM90.9 bilion.
Wisma Putra berkata, Malaysia dan Jepun akan menandatangani memorandum kerjasama dalam tiga bidang membabitkan industri pesawat udara, pekerja mahir, serta belia dan sukan ketika lawatan itu.
Ismail Sabri juga dijadualkan bertemu pemimpin korporat dan ahli perniagaan terkemuka dari beberapa syarikat di Jepun bagi menarik kehadiran lebih banyak pelaburan asing.