26 MEI: Jabatan Pengairan dan Saliran (JPS) akan membangunkan tiga siren Sistem Amaran Awal Hujan Ribut di kaki Gunung Jerai di Yan bagi mengelakkan tragedi kepala air berulang.
Timbalan Menteri Alam Sekitar dan Air, Datuk Mansor Othman berkata, ia melibatkan Siren Rekreasi Titi Hayun, Siren Rekreasi Seri Perigi dan Siren Masjid Jamek Badlishah yang boleh didengari penduduk dalam radius satu kilometer dari lokasi siren terbabit.
“Bunyi siren itu agak berbeza daripada bunyi kecemasan yang lain supaya penduduk lebih peka dan dapat bertindak dengan cepat,” katanya selepas mengadakan lawatan di Projek Pembinaan Empangan Sabo di Titi Hayun di Yan hari ini.
Katanya, pemasangan siren akan bermula hujung tahun ini dan dijangka siap selewat-lewatnya Mei tahun depan.
Tambahnya, pihaknya bercadang agar siren terbabit diaktifkan sebaik sahaja hujan lebat berlaku di puncak supaya persediaan dapat dilakukan oleh penduduk dan agensi terlibat.
Mansor menambah, sistem siren itu akan dilengkapi dengan tiga peringkat amaran dengan peringkat terakhir merupakan tahap bahaya.
“Pada peringkat ini kita akan bekerjasama dengan beberapa pihak termasuk Agensi Pengurusan Bencana Negara (Nadma) dan pejabat daerah bagi urusan pemindahan penduduk,” katanya.
Dalam kejadian kepala air di Gunung Jerai pada 18 Ogos tahun lalu, seramai enam mangsa terkorban dihanyutkan arus deras dan dihempap tanah runtuh selain menyebabkan banyak rumah kediaman, premis dan pengusaha chalet pelancongan desa terkesan akibat fenomena itu.