26 MEI : Barisan Nasional (BN) akan menganjurkan konvensyen dan perhimpunan bersempena dengan sambutan ulang tahunnya yang ke 48 pada 1 Jun bertempat di Dewan Merdeka Pusat Dagangan Dunia (WTC) Kuala Lumpur.
Perhimpunan yang bertemakan Kesetiaan dan Kestabilan itu akan melibatkan kehadiran sekitar 4,000 orang yang akan dijalankan dalam dua sesi.
Setiausaha Agung BN, Datuk Seri Dr Zambry Abd Kadir berkata, pada sesi pertama di sebelah pagi akan berlansung Konvensyen BN bertema BN : Melakar Masa Hadapan yang akan dirasmikan oleh Timbalan Pengerusi BN, Datuk Seri Utama Mohamad Hassan.
“Manakala pada sesi sebelah petang, upacara kemuncak sambutan ulang tahun akan dimulakan dengan acara menaikkan bendera BN dengan dihadiri oleh pemimpin utama BN dari seluruh negara,” katanya menerusi satu kenyataan hari ini.
Perhimpunan ini menurut Zambry diadakan dalam semangat untuk mengukuhkan solidariti BN dan juga sebagai persediaan bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke 15.
Katanya lagi, perhimpunan kali ini akan turut membawa mesej-mesej berhubung komitmen BN khususnya tawaran dan pendekatan yang akan menjadi harapan baharu buat rakyat di negara ini.