26 MEI: Angkatan Bersatu Anak Muda (ARMADA) mahu jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi yang bakal dikosongkan diisi calon daripada BERSATU.
Ketua ARMADA, Wan Ahmad Fayhsal Wan Ahmad Kamal, berkata ini kerana kedudukan penyandang jawatan terbabit adalah kuota daripada BERSATU dan perlul diganti dengan calon parti sama.
“Sama juga jika ia membabitkan peletakan jawatan Timbalan Menteri dan jawatan lain mengikut kuota ditetapkan, maka ia perlu diberikan kepada BERSATU” dipetik daripada Berita Harian hari ini.
Beliau diminta mengulas peletakan jawatan Datuk Zuraida Kamaruddin susulan langkahnya menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM) hari ini.
Wan Ahmad Fayhsal berkata, mana-mana ahli parti itu yang mengumumkan menyertai parti lain, maka akan digugurkan daripada BERSATU.
Katanya, penyertaan Zuraida ke PBM sememangnya sudah dijangkakan, malah Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) BERSATU ada membincangkan perkara itu.
“Dengan peletakan jawatan Zuraida hari ini, maka terbuktilah dakwaan sememangnya selama ini, beliau terbabit dalam parti yang baharu ditubuhkan itu.
“Kami berterima kasih kepadanya atas jasanya sebagai menteri BERSATU dan menjalankan tugasnya dengan hebat dalam tempoh singkat memegang jawatan.