26 MEI: Kementerian Kesihatan (KKM) akan mengeluarkan notis kesihatan cacar monyet (monkeypox) dalam aplikasi MySejahtera mulai esok.
Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, berkata pengembara yang tiba dari negara endemik monkeypox atau dari negara yang melaporkan kes monkeypox perlu mengisi borang prapelepasan dalam aplikasi MySejahtera.
“Mereka akan menerima notis kesihatan setiap hari selama 21 hari sebagai peringatan untuk membuat pemantauan kesihatan kendiri.
“Tempoh 21 hari itu kerana ia adalah tempoh inkubasi virus dan sekiranya bergejala, hendaklah segera mendapatkan rawatan di fasiliti kesihatan berhampiran.
“Kebolehjangkitannya virus monkeypox ini amat tinggi sekiranya bergejala dan ini adalah satu yang kita boleh kawal melalui langkah kesihatan awam,” katanya dalam sidang media yang berlangsung secara maya dari Geneva, Switzerland, hari ini.
Dalam pada itu, Khairy berkata KKM tidak mempunyai perancangan untuk melakukan imunisasi vaksin secara besar-besaran membabitkan virus cacar monyet.
Menurutnya, sekiranya perlu, ia hanya akan diberikan kepada kontak rapat kepada kes berkenaan dan pekerja kesihatan yang merawat mereka.
“Namun pada masa sama, ini adalah perkara yang membabitkan strategi negara dan saya dapat tegaskan di sini KKM mempunyai stok penimbal untuk keadaan seperti ini.
“Maksudnya kita bersedia jika virus cacar monyet ini menular dalam negara,” katanya.