27 MEI: Beberapa syarikat China bersedia membangunkan peralatan kit ujian dan vaksin untuk menangani jangkitan cacar monyet selepas meraih keuntungan besar daripada pandemik COVID-19.
Daily Mail melaporkan, beberapa makmal sudah mula menghasilkan kit ujian asid nukleik untuk mengesan virus yang kini menular di hampir seluruh dunia dengan lebih 200 kes yang disahkan.
Setakat ini, China belum merekodkan sebarang kes jangkitan penyakit itu.
Pakar di negara itu percaya vaksin bagi jangkitan cacar monyet boleh dibangunkan dalam tempoh setahun.
Menurut laporan Global Times, beberapa pengeluar peralatan perubatan di China sudah membangunkan kit ujian asid nukleik bagi jangkitan cacar monyet.
“Kit ujian itu boleh dikeluarkan secara besar-besaran dan di pasaran domestik selepas mendapat kelulusan kerajaan,” jelas laporan itu.
Sementara itu, pakar memaklumkan pihaknya tidak menghadapi masalah teknologi dalam membangunkan vaksin untuk jangkitan cacar monyet.
Malah, katanya, satu semakan khas dilakukan oleh pentadbiran ubat-ubatan China boleh membantu negara membangunkan vaksin terbabit dalam masa kira-kira setahun. – AGENSI