27 MEI : Hasrat untuk memeluk agama Islam setelah melalui pelbagai masalah kehidupan selama 10 tahun, akhirnya tercapai apabila seorang ibu tunggal, Lee Suat Ying, 32, melafazkan syahadah, malam tadi.
Turut mengikuti jejaknya ialah ibu beliau, Shaw Poh Hoon, 62.
Dua beranak itu, sebelum ini telah sekian lama menyatakan hasrat untuk memeluk Islam setelah merasakan kehidupan mereka sekeluarga tidak tenteram terutama apabila sering diganggu oleh ‘ah long’.
Suat Ying, yang mempunyai seorang anak perempuan berusia 10 tahun memberitahu, sejak anaknya dilahirkan, dia serta ibunya dan ahli keluarga lain sering diganggu oleh ‘ah long’ kerana bekas suaminya banyak berhutang dan meminjam dari ‘ah long’.
“Walaupun selepas saya dan suami berpisah, ‘ah long’ terus mengganggu kami walaupun yang pinjam bekas suami.
“Hinggalah anak saya berusia 10 tahun, ‘ah long’ masih ganggu kami.
“Yang pelik ‘ah long’ tidak pula mencari bekas suami saya yang sehingga kini saya tidak tahu dia berada di mana,” katanya yang bekerja sebagai seorang jurujual.
Suat Ying dan ibunya, Poh Hoon, mengucapkan syahadah dalam satu majlis ringkas di Kampung Masjid, Teluk Kumbar, Balik Pulau.
Dua beranak itu mengucapkan syahadah yang dikendalikan oleh Penaung Persatuan Infaq Kebajikan Ummah Takaful (MyIKUT), Zolkifly Md. Lazim.
MyIKUT merupakan pertubuhan bukan kerajaan yang aktif menjalankan kebajikan membela serta membantu golongan mualaf.
Menceritakan lebih lanjut, Suet Ying berkata, sekian lama kehidupannya bersama anak, ibu dan ahli keluarga lain tidak tenteram berikutan gangguan ‘ah long’ dan pelbagai masalah lain.
“Saya sering berfikir bagaimana hendak keluar dan selesaikan segala masalah hidup ini.
“Setelah sekian lama, saya tertarik dengan agama Islam yang memberi banyak jalan keluar dalam mengharungi kehidupan.
“Hari ini saya dan ibu berkesempatan mengucapkan syahadah. Syukur,” katanya.
Menurut Suet Ying, dia mengambil masa agak lama untuk menjadi seorang muslim disebabkan tidak tahu cara untuk memeluk Islam.
“Akhirnya ada penduduk yang sanggup membantu dan terima kasih pada MyIKUT. Saya memang terkejut, kerana untuk memeluk agama Islam, urusannya sangat mudah, hanya perlu mengucapkan syahadah,” katanya.
Mengenai perasaannya, Suet Ying berkata, dia kini berasa amat tenang setelah mengucapkan syahadah.
Mengenai anak perempuannya, beliau berkata; “Nanti perlahan-lahan saya akan bawa dia untuk bertemu MyIKUT agar sama-sama memeluk Islam,”
Suet Ying berkata, walaupun dia, ibu serta anak perempuannya masih tinggal bersama lima ahli keluarga lain termasuk bapanya yang belum memeluk Islam, perkara itu tidak menjadi masalah.
“Lima ahli keluarga lain faham, malah mereka termasuk bapa saya turut memberi dorongan kepada kami,” katanya.
Bagi Poh Hoon, dia turut merasa gembira kerana sebaik sahaja melafazkan syahadah, jiwanya semakin tenteram.
“Saya betul-betul gembira. Malah, ramai penduduk di sini yang ucapkan tahniah dan mereka juga umpama keluarga dan saudara saya sendiri,” katanya.
Sementara itu, Penaung MyIKUT, Zolkifly Md. Lazim berkata, pihaknya akan terus membantu serta memberi tunjuk ajar kepada Suet Ying dan ibunya.
“Suet Ying dan ibunya telah memberikan penjelasan mengenai kehidupan mereka bersama ahli keluarga lain yang belum Islam. Kita dapati mereka hidup harmoni walaupun tinggal dalam sebuah rumah,” katanya.- Oleh AMIR SARIFUDIN