27 MEI: Parlimen Iraq meluluskan undang-undang melarang hubungan dengan Israel semalam meskipun beberapa negara Arab sudah menjalinkan hubungan rasmi dengan rejim Zionis.
Iraq tidak pernah mengiktiraf Israel, malah keputusan tegas itu seiring dengan pendekatan iaitu rakyat dan syarikat negara tersebut tidak dibenarkan berkunjung ke Israel.
Bagaimanapun, undang-undang baharu yang diluluskan itu menetapkan bahawa sebarang cubaan menjalin hubungan dengan Israel adalah perbuatan jenayah.
Undang-undang itu diusulkan oleh ulama berpengaruh, Moqtada al-Sadr. Parti beliau yang membantah hubungan erat dengan Amerika Syarikat (AS) dan Israel, memenangi semakin banyak kerusi Parlimen pada pilihan raya, Oktober lalu.
“Keputusan meluluskan undang-undang itu bukan hanya satu kemenangan kepada rakyat Iraq, tetapi juga wira di Palestin dan Hizbullah di Lubnan,” kata Ahli Parlimen, Hassan Salim.
Beberapa negara Teluk, termasuk Emiriah Arab Bersatu (UAE) dan Bahrain, menjalinkan hubungan dengan Israel. – REUTERS