27 MEI: Malaysia dan Jepun hari ini memuktamadkan tiga memorandum kerjasama (MoC) berkaitan bidang industri pesawat, pekerja mahir, serta belia dan sukan.
Berlangsung di Kantei atau Pejabat Perdana Menteri Jepun, majlis pertukaran itu MoC itu disaksikan perdana menteri kedua-dua negara, Datuk Seri Ismail Sabri Yakkob dan rakan sejawatnya, Fumio Kishida.
Terdahulu, Ismail Sabri dalam rangka lawatan kerja rasmi beliau ke Jepun mengadakan pertemuan bersama Kishida bagi membincangkan isu penting hubungan dua negara.
Di pihak Malaysia, pelaksanaan MoC terbabit diterajui tiga kementerian iaitu Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri (MITI) bagi industri pesawat, Kementerian Sumber Manusia (KSM) bagi pekerja mahir dan Kementerian Belia dan Sukan (KBS) bagi belia dan sukan.
Menteri Kanan Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, MoC industri pesawat dimeterai Malaysia dan Jepun, untuk memperkasakan aktiviti aeroangkasa.
Beliau berkata, antara aktiviti yang akan terbabit ialah penyelenggaraan, pembaikan dan baik pulih (MRO) dan juga aktiviti hiliran aeroangkasa.
“Ia akan memberi peluang kepada perusahaan kecil dan sederhana (PKS) untuk terlibat dalam rantaian bekalan industri berkenaan,” katanya kepada wartawan Malaysia.
Menteri Sumber Manusia, Datuk Seri S Saravanan pula berkata, MoC diterajui kementeriannya berhubung penghantaran pekerja mahir Malaysia dalam sektor tertentu untuk bekerja di Jepun.
Melalui MoC itu, katanya lebih 1,000 rakyat Malaysia berpeluang menimba pengalaman di Jepun dan sekiranya program itu berkesan, beliau akan berbincang dengan kerajaan negara terbabit untuk meningkatkan bilangan peserta Malaysia.
“Ia beri peluang kepada rakyat Malaysia untuk mendapat pengalaman dan kepakaran di Jepun untuk satu tempoh masa, di mana apabila mereka pulang kelak akan dapat menyumbang kepada industri yang berkaitan di Malaysia,” katanya.
Menteri Belia dan Sukan, Datuk Seri Ahmad Faizal Azumu pula berkata, kerjasama melalui MoC itu antaranya mengenai pertukaran belia, pembangunan belia dan sukan.
Turut dibincangkan ialah bekerjasama melatih sukarelawan bagi menghadapi bencana seperti banjir di Malaysia, serta kesukarelawan dalam penganjuran sukan antarabangsa memandangkan Jepun pernah menjadi tuan rumah Sukan Olimpik dalam keadaan mencabar.
Jepun adalah tuan rumah Sukan Olimpik 2020, namun tertangguh dan diadakan tahun lalu akibat pandemik COVID-19.
Tokyo 2020 menjadi sejarah temasya Olimpik, apabila hampir semua acara berlangsung di gelanggang tanpa kehadiran penonton dan hanya membabitkan kehadiran atlet, pegawai pasukan dan wakil media. – BERNAMA