Xinjiang Police File dedah penindasan etnik Uighur
28 MEI: Pengodam yang berjaya memasuki pangkalan data polis di Xinjiang menyebabkan ribuan gambar kem tahanan etnik Uighur di Xinjiang, China tersebar baru-baru ini.
Fail dinamakan ‘Xinjiang Police File’ itu diperoleh penggodam yang kemudian diserahkan kepada penyelidik dan aktivis termasuk Dr Adrian Zenz di Amerika Syarikat (AS).
Terdapat banyak bukti ditemui dalam fail itu seperti dokumen, gambar, termasuk ucapan pegawai yang bertanggungjawab mewujudkan ‘kem pendidikan semula’ yang didakwa adalah pusat latihan vokasional.
Etnik Uighur di Xinjiang juga mencatatkan kadar pemenjaraan tertinggi dunia, malah lebih mengejutkan, fail itu juga mengandungi gambar lebih 2,800 tahanan dengan 15 daripadanya adalah kanak-kanak bawah umur.
“Fail ini, kerana ia diperoleh secara langsung dengan menggodam komputer dan pangkalan data polis di Xinjiang, buat pertama kali memberi kami maklumat secara langsung berhubung operasi polis di kem pendidikan semula itu.
“Ia termasuk imej yang diambil semasa latihan polis, latihan keselamatan di kem ini, ucapan diberikan Chen Quanguo (Ketua Parti Komunis di Xinjiang) dan pegawai lain.
“Mereka bercakap secara langsung mengenai sikap dan ancaman yang mereka lihat daripada etnik Uighur serta kenapa mereka perlu ditangkap selain bagaimana kem itu perlu dipertahankan,” kata Zenz dalam video yang mendedahkan fail berkenaan.
Sehubungan itu, beliau menegaskan pemimpin dunia perlu secara langsung memberi tekanan kepada kepimpinan China, termasuk Presidennya, Xi Jinping.
Tambah beliau, Ketua Pesuruhjaya Hak Asasi Manusia Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (OHCHR), Michelle Bachelet, yang kini dalam rangka lawatan ke wilayah pinggir barat China di mana Beijing dituduh memenjarakan lebih sejuta etnik Uighur, harus mengambil perhatian. – AGENSI