Zuraida masih kekal menteri Kabinet – PM
28 MEI: Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob mengesahkan Ahli Parlimen Ampang, Datuk Zuraida Kamaruddin masih lagi sebagai menteri Kabinet.
Ismail Sabri berkata, Zuraida masih lagi boleh menyertai mesyuarat Kabinet, memandangkan beliau belum lagi memutuskan sama ada Zuraida sudah pun dipecat secara rasmi ataupun tidak.
“Setakat ini dia (Zuraida) masih boleh menghadiri (mesyuarat Kabinet) sebab dia tak letak jawatan sebagai menteri kabinet dan saya pun tak pecat dia sebagai menteri kabinet.
“Jadi dia masih lagi menteri Kabinet sehingga mesyuarat pada hari Rabu ini. Keputusan akhir adalah di tangan saya.
“Tunggu sehingga saya pulang (ke Malaysia), panggil beliau untuk berbincang mengenai hal tersebut, kemudian baru saya buat keputusan,” katanya menerusi satu sidang akhbar di Tokyo hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas mengenai sama ada Zuraida masih lagi boleh menyertai mesyuarat kabinet susulan keputusan beliau yang berhasrat untuk meletakkan jawatan sebagai Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi.
Kelmarins, Zuraida berhasrat meletakkan jawatan tersebut selepas mengumumkan keluar daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) untuk menyertai Parti Bangsa Malaysia (PBM).
Zuraida dalam satu kenyataan bagaimanapun berkata, beliau akan kekal menyokong kerajaan pimpinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, selari dengan pendirian PBM.