29 MEI: Satu deklarasi bersempena Sambutan Hari Wartawan Nasional (HAWANA) 2022 yang berlangsung di Melaka dilakukan sebagai ikrar golongan wartawan dalam peranan menyampaikan suara rakyat dan membina negara.
Deklarasi Melaka 2022, yang sebulat suara didokong oleh wartawan Malaysia menggariskan lima perkara sebagai prinsip kewartawan dalam mendukung keluhuran Perlembagaan dan prinsip Rukun Negara.
Wartawan Malaysia juga bersepakat menjunjung kebebasan bersuara dan kebebasan media bagi memastikan kelangsungan sistem demokrasi yang sihat dan segar.
Berikut adalah lima perkara yang terkandung di dalam Deklarasi Melaka 2022
KEWARTAWANAN DIPELIHARA DAN DIIKTIRAF SEBAGAI INSTITUSI NEGARA
Kewartawanan merupakan profesion yang dapat mempengaruhi pandangan atau sikap masyarakat melalui laporan dan penulisan yang dihasilkan.
Justeru itu, kewartawanan perlu mengekalkan fungsi dan peranannya sebagai ‘pemerhati’ untuk mengawasi tata laku dan tadbir urus negara agar pemerintahan negara sentiasa berintegriti dalam semua aspek.
Kewartawanan yang amanah dan bertanggungjawab merupakan aset penting dalam pembangunan negara bangsa.
MENGHORMATI HAK WARTAWAN MENJALANKAN TUGAS
Dalam memelihara dan mengangkat martabat kewartawanan serta kebebasan media, wartawan diberikan ruang dalam menyampaikan laporan sahih dan seimbang sejajar dengan hak kebebasan bersuara seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.
Sewajarnya, wartawan perlu diberi kebebasan dalam menjalankan tugas dengan sebaik mungkin tanpa halangan atau sekatan mana-mana pihak. Dengan yang demikian, wartawan dapat membuat liputan dan laporan yang menegakkan nilai integriti, relevan serta sahih.
MENJUNJUNG PERLEMBAGAAN DAN PRINSIP RUKUN NEGARA
Wartawan yang mendukung Etika Kewartawanan Malaysia menghormati prinsip-prinsip terkandung dalam Rukun Negara iaitu Kepercayaan kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang, dan Kesopanan dan Kesusilaan.
Pada masa sama, kebebasan bersuara, kebebasan media dan hak untuk berorganisasi menjadi penyumbang ke arah mewujudkan suatu persekitaran kondusif kepada sistem demokrasi. Oleh itu, wartawan menjadi sebahagian daripada proses pembinaan negara serta memupuk keharmonian antara kaum dan perpaduan nasional.
Di Malaysia yang demokratik, wartawan menggunakan kemahiran untuk mewujudkan suasana saling menghormati, saling mempercayai dan saling memahami di kalangan masyarakat dan mencegah timbulnya perasaan curiga dan prasangka.
KEWARTAWANAN MEMARTABAT INTEGRITI
Sebagai tunjang dalam memacu hala tuju negara, kewartawanan menjadi medium dalam memartabat integrity supaya menjadi amalan tadbir urus negara serta boleh menjadi pegangan prinsip masyarakat umum. Ini boleh mengelak amalan penyalahgunaan kuasa, pecah amanah, rasuah dan penyelewengan di Malaysia.
MEMERANGI BERITA PALSU
MEDIA berperanan menyampaikan maklumat kepada masyarakat namun internet menjadikan peranan media semakin mudah tetapi penuh mencabar. Kewujudan internet mempercepatkan proses penyampaian berita dan segala maklumat lama serta baharu sehinggakan media sosial menjadikan masyarakat Malaysia lebih peka kepada keadaan sekeliling.
Keadaan ini boleh menyebabkan penyebaran berita palsu mudah berleluasa dengan ia direka semata-mata untuk menarik perhatian netizen dan menjadi isu hangat atau trending. Media bertauliah perlu Bersatu untuk memerangi penyebaran berita palsu yang boleh membahayakan individu, organisasi dan kerajaan.