29 MEI : Sejumlah pil dan serbuk dadah jenis methylenedioxy-methamphetamine (MDMA) bernilai RM26.5 juta berjaya dirampas Jabatan Siasatan Jenayah Narkotik (JSJN) selepas menyerbu dua unit kondominium mewah di sekitar ibu negara, Khamis lalu.
Dalam serbuan itu, seorang lelaki warga tempatan dan tiga wanita warga China, berusia antara 48 hingga 56 tahun turut ditahan.
Menurut Pengarah JSJN, Datuk Ayob Khan Mydin Pitchay, pihaknya mendapat maklumat kondominium mewah itu dijadikan tempat memproses dan penyimpanan dadah sebelum ia dipasarkan ke seluruh ibu negara.
“Sindiket berkenaan sengaja menjadikan kondominium mewah yang sukar untuk dimasuki orang luar itu sebagai taktik untuk mengaburi mata pihak berkuasa dan orang ramai.
“Kondominium itu disewa dengan harga RM2,500 sebulan dan pihak polis sendiri sukar memasuki kawasan berkenaan kerana pengawalan keselamatan yang ketat.
“Kita melakukan empat serbuan dalam operasi itu namun dua unit dikesan menjadi markas pemprosesan dadah termasuk sebuah unit untuk tujuan penyimpanan dadah jenis ecstasy itu,” katanya dalam sidang media di Bukit Aman hari ini.
Menurut Ayob, lelaki tempatan itu dipercayai dalang utama kegiatan itu dan bertanggungjawab mengajar wanita dari negara China itu untuk memproses dan membungkus dadah.
“Setiap bahan untuk menghasilkan dadah dibeli daripada pasaran tempatan dan kemungkinan dia sendiri belajar memproses dadah dari internet.
“Salah seorang daripada wanita itu adalah teman wanita suspek dan dia diajar menguruskan dadah yang diproses itu. ,” katanya.
Sindiket berkenaan katanya lagi, dipercayai aktif sejak penghujung tahun 2021 dan dadah yang dirampas itu boleh digunakan seramai 880,967 orang penagih dadah.
Setakat ini, polis jelasnya telah menyita pelbagai aset sindiket termasuklah dua kenderaan (RM115,000), wang tunai RM3, 000, jam tangan (RM2,000) dan barang kemas (RM2,000)
“Kesemua aset yang disita itu bernilai RM122,000 dan keseluruhan rampasan dadah adalah berjumlah RM26,622,000,” katanya.
Ayob berkata, kes itu disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Bahaya 1952 dan semua suspek direman selama tujuh hari bermula kelmarin untuk membantu siasatan.