30 MEI : Warga Lembah Klang dinasihatkan tidak cemas jika melihat pelbagai pesawat Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) terbang rendah kerana pasukan itu sedang menjalankan latihan.
Bahagian Perhubungan Awam, Markas Tentera Udara menerusi satu kenyataan hari ini berkata, memaklumkan TUDM sedang mengadakan persiapan Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM ke-64 yang akan diadakan pada 1 Jun ini di Pangkalan Udara Subang.
“Persiapan bagi istiadat perbarisan itu sudah bermula pada 28 Mei sehingga hari sebenar sambutan iaitu pada 1 Jun 2022 yang akan disertai dengan terbang lintas hormat pesawat TUDM.
“Sepanjang latihan bagi menyempurnakan acara sambutan, pesawat-pesawat TUDM akan melaksanakan penerbangan rendah dan penerbangan taktikal bagi latihan demonstrasi keupayaan pada hari sambutan ulang tahun berkenaan,” katanya.