30 MEI: Ringgit dibuka lebih tinggi berbanding dolar AS pagi ini, didorong minat belian baharu di tengah-tengah sentimen risiko di China dan pengumuman data ekonomi Amerika Syarikat (AS) menjelang minggu ini, kata seorang penganalisis.
Pada jam 9 pagi, mata wang tempatan meningkat kepada 4.3730/3755 berbanding dolar AS daripada 4.3775/3800 pada penutup Jumaat.
Rakan kongsi pengurusan SPI Asset Management Stephen Innes berkata minggu ini merupakan minggu yang sangat penting, dipenuhi data ekonomi AS yang akan menerangkan hala tuju pertumbuhan jangka masa terdekat serta prospek pasaran buruh Rizab Persekutuan (Fed) menjelang mesyuarat Jawatankuasa Pasaran Terbuka Persekutuan pada 15 Jun.
“Jadi, saya merasakan peniaga akan memberi perhatian kerana sebarang kelemahan dalam data akan mengurangkan peluang Fed untuk menaikkan kadar secara agresif dan boleh melemahkan sedikit dolar AS,” katanya.
Beliau juga mengunjurkan ringgit akan terikat dalam julat yang ketat dan pertukaran mata wang asing Asia kekal dalam mod tunggu dan lihat.
Sementara itu, ringgit didagangkan bercampur-campur berbanding sekumpulan mata wang utama.
Mata wang tempatan meningkat berbanding dolar Singapura kepada 3.1959/1980 daripada penutup Jumaat pada 3.1962/1982 dan menambah nilai berbanding yen Jepun kepada 3.4409/4431 daripada 3.4450/4472.
Bagaimanapun, nilai ringgit merosot berbanding pound Britain kepada 5.5222/5254 daripada 5.5170/5201 dan susut berbanding euro kepada 4.6922/6949 daripada 4.6905/6932. – BERNAMA