31 MEI : Pemerhatian Kementerian Pertanian dan Industri Makanan (MAFI) mendapati bekalan ayam di pasar raya seluruh negara stabil dan tidak berlaku kekurangan ketara sejak 10 hari lepas, kata menterinya Datuk Seri Ronald Kiandee.
“Saya rasa pihak pengusaha ayam telah ambil tindakan dan keperluan sepatutnya bagi memastikan bekalan ayam 1.8 juta hingga dua juta ayam setiap hari.
“Kita juga telah menghentikan eksport buat masa ini bagi memastikan keperluan tempatan dipenuhi,” katanya selepas melawat Dinding Poultry Development Centre (DPDC), Segari, di Manjung hari ini.
Dilaporkan bekalan ayam di beberapa negeri masih stabil dan tidak terputus sepenuhnya walaupun terdapat pengurangan bekalan yang diterima melalui pembekal.
Bekalan ayam sebelum ini dilaporkan berkurangan di beberapa negeri kononnya atas beberapa sebab antaranya kerana peralihan ke fasa endemik, sambutan Aidilfitri serta pembelian panik susulan satu kenyataan akan berlaku ketiadaan bekalan ayam pada 20 hingga 22 Mei lepas.
Ditanya mengenai tuntutan subsidi ayam, Ronald berkata penternak ayam yang belum menerima atau membuat permohonan, masih boleh berbuat demikian selepas tempoh yang akan berakhir 5 Jun ini.
“Kita harap pihak industri tampil ke hadapan membuat tuntutan subsidi mereka. Kita juga telah menambah kakitangan di peringkat negeri supaya urusan tuntutan dapat diperbaiki, dipercepatkan dan berjalan lancar.
“Selepas tarikh itu masih boleh diproses. Sebelum ini kelulusan berperingkat tapi kali ini peringkat negeri yang akan melakukan semakan dan semakan terakhir oleh ibu pejabat,” katanya.
Jelasnya, setakat ini hanya RM71 juta subsidi telah dibayar walaupun sebanyak RM729.43 juta subsidi disediakan di bawah Skim Kawalan Harga Keluarga Malaysia sejak 5 Feb lepas, selaras penetapan harga siling ayam standard pada harga RM8.90 per kilogram.- BERNAMA