31 MEI: Kementerian Pembangunan Luar Bandar menyalurkan geran sebanyak RM59.64 juta kepada FELCRA Berhad bagi melaksanakan Projek Ternakan Ayam Padaging Sistem Tertutup yang akan dilaksanakan di Tanjung Seratus, Kuala Rompin, Pahang.
Timbalan Menteri 1 KPLB, Datuk Seri Abdul Rahman Mohamad berkata, kerja-kerja pembinaan projek itu dijangka bermula pada Jun ini dan beroperasi sepenuhnya pada Januari tahun depan.
“Projek ini telah dimulakan dengan kerja-kerja pembersihan tapak dan menyediakan jalan masuk. Seterusnya, kerja-kerja pembinaan diijangka bermula pada Jun 2022,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Menurutnya, projek in akan merupakan idea strategik dan komitmen FELCRA Berhad untuk mengadaptasi pengalaman dan strategi untuk melaksanakan Projek Ternakan Ayam.
Tambahnya, projek Mega Makanan Negara berkenaan akan membuka 500 peluang pekerjaan kepada masyarakat setempat.
“Dijangkakan, penternakan mega ini akan berjaya menghasilkan 600,000 ekor ayam per pusingan atau dalam setiap 35 hari,” katanya.
Katanya, bukan sahaja rakyat Malaysia bergantung kepada ayam sebagai sumber protein malahan keseluruhan rakyat dunia memang penggemar ayam serta kekurangan sumber bekalan ayam sering menjadi isu terutama ketika musim perayaan.
Justeru, Abdul Rahman berharap inisiatif yang diambil oleh KPLB melalui FELCRA Berhad itu akan berjaya dan mampu menampung bekalan negara.