31 MEI: Parti Pejuang Tanah Air (PEJUANG) mengesahkan parti itu telah mengadakan perbincangan dengan beberapa parti untuk menghadapi Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU-15).
Presidennya, Datuk Seri Mukhriz Mahathir, berkata perbincangan itu diadakan secara tidak formal membabitkan sama ada parti dalam kerajaan, pembangkang dan parti berkecuali.
“Kemungkinan besar kita tidak akan memasuki PRU-15 dengan berseorangan. Jadi, kita memang dah bincang dengan beberapa parti termasuk parti kerajaan, pembangkang dan parti yang tidak menyokong mana-mana pihak (berkecuali).
“Kita tidak menganggap parti yang tidak menyokong mana-mana pihak ini sebagai kecil.
“Perbincangan dibuat secara tidak formal dan perbincangan formal akan diadakan dalam masa terdekat. Kita terbuka untuk kerjasama ini, baik dari segi gabungan atau pakatan literal,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui pada sidang media di Majlis Pimpinan PEJUANG Kelantan di Kota Bharu, hari ini.
Mengulas berhubung jumlah kerusi yang akan ditandingi parti itu di Kelantan pada PRU-15, Mukhriz berkata, PEJUANG adalah parti Melayu dan sudah tentu sasaran parti itu juga negeri Melayu termasuk Kelantan.
Bagaimanapun, katanya, beliau menyerahkan kepada Majlis Pimpinan dan Kelantan untuk mengenal pasti kerusi dan mengemukakan cadangan pimpinan di peringkat Pusat.