1 JUN : Sebanyak 11,793 kes demam denggi dilaporkan di Selangor sehingga 28 Mei lepas, kata Pengarah Kesihatan Negeri Datuk Dr Sha’ari Ngadiman.
Dr Sha’ari berkata daripada jumlah itu, berlaku peningkatan kes sebanyak 87.2 peratus melibatkan 5,492 kes berbanding minggu epid (ME) sama tahun lepas.
“Pada ME 21, sejumlah 866 kes denggi telah dilaporkan di Selangor, iaitu penurunan sebanyak 5.9 peratus berbanding 920 kes pada minggu sebelumnya,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.
Beliau berkata lima daerah utama yang mencatatkan kes demam denggi tertinggi iaitu Petaling 4,436 kes, Klang (2,729), Hulu Langat (2,435), Gombak (1,188) dan Sepang (334).
“Jumlah lokaliti wabak denggi aktif adalah sebanyak 331 dengan perincian lokaliti titik panas (hotspot) iaitu 33, wabak tidak terkawal (26) serta wabak terkawal dan wabak baru (272),” katanya tiada kematian denggi didaftarkan pada minggu ini, menjadikan jumlah kes kematian denggi kekal pada tiga kes.
Selain itu, Dr Sha’ari turut menyarankan agar setiap komuniti di kawasan kediaman dapat melaksanakan aktiviti pembersihan tempat pembiakan nyamuk aedes secara berkala.
“Meluangkan hanya 10 minit seminggu dan pastikan semua takungan air yang tidak digunakan di persekitaran masing-masing dimusnahkan.
Meletakkan ubat pembunuh jentik-jentik ditempat takungan air yang tidak dapat dimusnahkan,” katanya.- BERNAMA