1 JUN : Kerajaan memberi jaminan untuk melaksanakan pembaharuan struktural negara sebagai satu keutamaan dalam jangka masa sederhana.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, langkah tersebut mampu meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
“Saya memberi jaminan, keutamaan kerajaan dalam jangka masa sederhana adalah untuk melaksanakan pembaharuan struktural yang akan meningkatkan potensi, daya tahan dan prospek ekonomi negara serta menjadikan Malaysia sebagai destinasi pelaburan yang lebih menarik.
“Secara keseluruhan, langkah dan komitmen kerajaan ini akan menggalakkan pertumbuhan ekonomi yang lebih mampan dan inklusif untuk seluruh Keluarga Malaysia,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen Barisan Nasional (BN) bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan” bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 hari ini.
Mengulas lanjut, kata Ismail Sabri lagi, ekonomi negara dijangka berada di landasan untuk mencapai unjuran pertumbuhan antara 5.3 peratus hingga 6.3 peratus pada 2022, seiring dengan unjuran Tabung Kewangan Antarabangsa (IMF) dan Bank Dunia iaitu masing-masing sebanyak 5.75 peratus dan 5.5 peratus.
“Walaupun ekonomi negara berada di landasan yang kukuh, kerajaan mengambil pendekatan berhati-hati terhadap perkembangan global terkini yang berpotensi menjadi risiko kepada pertumbuhan ekonomi “Sebagai contoh, ketegangan geopolitik telah mengakibatkan tekanan ekonomi dalam pelbagai aspek, terutamanya peningkatan dalam inflasi global berikutan harga komoditi yang terus meningkat,” ujarnya lagi.