1 JUN: Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah bertitah, pembangunan kapasiti warga Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) dan transformasi keupayaan perlu bergerak seiringan dalam membentuk angkatan udara masa hadapan berwibawa.
Baginda bertitah, peranan TUDM sebagai tonggak utama mempertahankan ruang angkasa negara diibaratkan sebagai perisai yang melindungi rakyat dan segenap kemakmuran negara.
Titah Al-Sultan Abdullah, bagi membangunkan keupayaan kuasa udara sebagai perisai yang terus gagah di angkasa raya menangkis dan melindungi tanah air pada setiap masa, ia memerlukan pembentukan warga udara berkapasiti tinggi.
“Ia turut menuntut pembangunan keupayaan peralatan seiring arus kemodenan teknologi semasa. Warga TUDM perlu diterap dengan kemahiran mampan sejajar evolusi pembangunan kapasiti.
“Susulan itu, peningkatan keupayaan warga udara berasaskan teknologi akan dapat memacu ke arah pembentukan modal insan berimpak tinggi dan pada masa sama, pemantapan jasmani serta rohani.
“Selain itu, memperkasa jati diri setiap warga udara sewajarnya terus diberikan tumpuan,” titah baginda pada majlis Istiadat Perbarisan Hari Ulang Tahun TUDM Ke-64 di Pangkalan Udara Subang hari ini.
Terdahulu, Al-Sultan Abdullah dan Raja Permaisuri Agong, Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah tiba di Pangkalan TUDM pada jam 9 pagi disambut Panglima Angkatan Tentera (ATM) Tan Sri Affendi Buang; Panglima TUDM, Datuk Seri Mohd Asghar Khan Goriman Khan dan Timbalannya, Datuk Mohammad Salleh Osman.
Nyanyian lagu Negaraku dan Perwira Di Angkasa dialunkan Gabungan Pancaragam TUDM sebelum baginda berdua menerima penghormatan diraja disertai lintas hormat lima helikopter membawa Jalur Gemilang, bendera ATM dan bendera TUDM.
Al-Sultan Abdullah selepas itu memeriksa perbarisan 23 pegawai dan 420 anggota Lain-Lain Pangkat, diketuai Left Kol Hassan Basri Tajul Ariffin dengan menaiki kenderaan istiadat.
Perbarisan berkonsep Berjalan Lalu Dalam Masa Perlahan dan Cepat turut disertai terbang lintas hormat pesawat TUDM iaitu Sukhoi Su-30MKM, BAE Hawk dan F/A-18D Hornet, pesawat angkut A400M dan pesawat latihan PC-7 MKII. Helikopter EC 725 AP, AW 139 turut serta membuat lintas hormat buat julung kalinya dalam istiadat itu.
Baginda bertitah, warga udara perlu sentiasa berpegang teguh kepada disiplin dan etika ketenteraan serta memiliki sifat terpuji yang unggul.
Titah baginda, bagi memastikan TUDM sentiasa berkembang mengikut peredaran zaman, keupayaan pertahanan udara perlu juga melalui transformasi secara menyeluruh dan holistik selari perkembangan teknologi ketenteraan semasa.
“Aplikasi teknologi terkini bukan saja terhad kepada peningkatan keupayaan pesawat terbang, malah ia juga perlu membabitkan peningkatan keupayaan kejuruteraan, logistik, latihan dan pengurusan ruang udara.
“Semua ini demi mendukung pertahanan komprehensif negara dan memperkukuh perkongsian berwibawa di peringkat serantau dan antarabangsa,” titah baginda.
Al-Sultan Abdullah juga menzahirkan keyakinan menerusi pembangunan kapasiti warga udara dan transformasi keupayaan sejajar teknologi terkini, TUDM sebagai sebahagian elemen pertahanan negara akan dapat menjamin kesejahteraan, kestabilan, keamanan serta kelangsungan ekonomi negara.
Baginda bertitah, TUDM kini semakin megah berperanan sebagai sebuah perisai kedaulatan negara serta turut cemerlang dalam pelbagai inisiatif kerjasama serantau dan antarabangsa terutama dalam mendepani krisis kemanusiaan.
“TUDM kini di atas landasan tepat menuju ke arah pembentukan sebuah angkatan udara masa hadapan yang berspektrum penuh.
“Semua ini tidak dicapai tanpa pelbagai usaha dan pengorbanan dicurahkan panglima, barisan kepimpinan, perwira dan perajurit TUDM sepanjang 64 tahun lalu,” titah baginda. – BERNAMA