1 JUN : Keputusan Amerika Syarikat (AS) untuk membekalkan sistem roket berteknologi tinggi dan peluru ke Ukraine, dikritik keras oleh Russia, selain turut memberi amaran mengenai risiko konfrontasi langsung antara dua kuasa besar itu.
Timbalan Menteri Luar Russia, Sergei Ryabkov, memberitahu agensi berita kerajaan, RIA Novosti, bahawa Moscow melihat bantuan ketenteraan AS kepada Ukraine sebagai ‘sesuatu yang sangat negatif’.
Beliau menegaskan bahawa Sistem Roket Artileri Mobiliti Tinggi (HIMARS) adalah pelancar roket berbilang keupayaan yang boleh menyerang dengan ketepatan tinggi ke atas sasaran jarak jauh.
Pegawai pentadbiran kanan berkata Ukraine memberikan jaminan bahawa peluru berpandu HIMARS tidak akan digunakan terhadap sasaran di dalam Russia.
“Kita sudah bergerak dengan pantas untuk menghantar sejumlah besar senjata dan peluru ke Ukraine untuk membolehkannya bertempur di medan perang dan berada dalam posisi terkuat di meja rundingan.
Ryabkov, ketika ditanya mengenai kemungkinan berlaku konfrontasi langsung antara AS dan Russia, menyalahkan Washington kerana meningkatkan permusuhan di Ukraine.
“Sebarang penghantaran senjata yang diteruskan, yang sedang ditambah, menaikkan risiko perkembangan itu. AS tidak melakukan apa-apa demi kepentingan mencari penyelesaian, sama seperti pendiriannya selama bertahun-tahun sebelum permulaan operasi ketenteraan khas,” katanya.