1 JUN: Russia didakwa menguasai kebanyakan bandar industri Sievierodonetsk, namun diberi tentangan kuat oleh tentera Ukraine.
Serangan habis-habisan Russia ke atas bandar di wilayah Luhansk mengambil masa lama iaitu tiga bulan.
Selepas gagal menguasai ibu negara Ukraine, Kyiv dan dihalau keluar dari utara negara itu, kemenangan Russia di Sieviedonetsk dan seberang sungai Siverskyi Donets di Lysychansk akan menguasai sepenuhnya Luhansk yang menjadi satu daripada dua wilayah timur yang dituntut Moscow untuk pihak pemisah.
Penganalisis ketenteraan Barat berpandangan Moscow berdepan kekangan tenaga kerja dan senjata api di beberapa bahagian lain dekat kawasan timur untuk menumpukan perhatian di Sievierodonetsk.
Dakwa penganalisis itu, mereka berharap serangan besar-besaran akan dapat menjamin wilayah Luhansk untuk proksi kumpulan pemisah.
Gabenor wilayah Luhansk, Serhiy Gaidai, berkata hampir semua infrastruktur kritikal di Sievierodonetsk musnah dan 60 peratus hartanah kediaman rosak dan tidak dapat dibaiki.
“Kebanyakan kawasan Sievierodonetsk di bawah kawalan Russia. Bandar ini tidak dikepung dan prasyarat untuk itu tidak ada,” katanya sambil menambah serangan Russia menyukarkan urusan penyaluran bantuan atau memindahkan penduduk.
Seorang pemimpin pemisah pro-Moscow mendakwa, pertempuran sedang berlaku di bandar itu tetapi proksi Russia mara lebih perlahan daripada dijangkakan untuk mengekalkan infrastruktur bandar itu dan berhati-hati kerana mempunyai kilang kimia.
“Apa kita boleh katakan adalah satu pertiga daripada Sievierodonetsk di bawah kawalan kami,” kata pemimpin Republik Rakyat Luhansk pro-Moscow, Leonid Pasechnik seperti memetik laporan agensi berita Russia, TASS. – REUTERS