1 JUN : Semua ahli Barisan Nasional (BN) diminta bersiap sedia bagi menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang dijangka tiba pada bila-bila masa dari sekarang.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, martabat BN perlu diangkat semula sebagai wadah politik yang berupaya mengembalikan kegemilangan negara dan bangsa.
Menurutnya, isyarat jelas telah ditunjukkan rakyat apabila kembali memberi kepercayaan kepada BN di dalam beberapa Pilihan Raya Kecil (PRK) dan Pilihan Raya Negeri (PRN) sebelum ini.
“Ini membuktikan BN mampu menawarkan kestabilan politik, kemakmuran ekonomi serta kesejahteraan negara.
“Walaupun pada penilaian kita, rakyat sudah kembali kepada BN, kita tidak boleh merasa selesa kerana masih banyak yang perlu dilakukan untuk memenangi hati rakyat, bagi menjamin kejayaan dalam PRU-15,” tegasnya.
Ismail Sabri berkata demikian ketika berucap pada Konvensyen BN bertemakan “Kesetiaan dan Kestabilan” bersempena dengan ulang tahun gabungan parti itu yang ke-48 hari ini.
Katanya lagi, demi memastikan mimpi buruk 22 bulan tidak berulang, jentera BN wajib bekerja keras, bersiap siaga dan bersatu padu dalam menghadapi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15) yang akan tiba bila-bila masa dari sekarang, bagi mengekalkan rentak kemenangan yang telah dicapai mutakhir ini.