2 JUN : Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin memberitahu pemberita di Singapura, Malaysia perlu menimbang tiga faktor utama sebelum melaksanakan pilihan raya umum, sambil menegaskan tarikh pembubaran Parlimen, terletak sepenuhnya pada budi bicara perdana menteri.
Tiga faktor yang digariskannya adalah, kesediaan negara berhubung kesihatan umum, momentum pemulihan ekonomi serta pertimbangan politik.
Khairy yang berada di Singapura selama empat hari sejak 31 Mei 2022 menerusi program pertukaran Felow Lee Kwan Yew berkata demikian ketika diminta mengulas kenyataan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob pada Rabu bahawa beliau tidak akan melengahkan, walau sedetik, pembubaran Parlimen sebaik saja Barisan Nasional (BN) sudah benar-benar bersedia.
“Kita perlu meneliti varian baharu…untuk mengetahui gelombang jangkitan. Buat masa ini keadaan okey tetapi saya yakin bahawa ia boleh dikawal,” katanya ketika menjelaskan mengenai faktor kesihatan.
Mengenai pemulihan ekonomi, beliau berkata, Malaysia agak bernasib baik kerana ia adalah negara pengeluar meskipun ketika ini berdepan dengan beberapa tekanan inflasi.
“Kami mempunyai minyak sawit… kami mempunyai beberapa enjin pertumbuhan yang dapat memacu ekonomi.. jadi kami mahu memastikan momentum ekonomi itu,” kata Khairy.
Berhubung faktor pertimbangan politik, Ahli Parlimen Rembau itu berkata, BN sendiri seharusnya bersedia untuk menghadapi pilihan raya.
“Kami mahu memastikan BN sudah sedia. Bukan setakat negara sudah sedia kerana perlu ada persekitaran yang kondusif untuk berdepan pilihan raya,” katanya sambil menambah, dalam keadaan itu kita perlu melihat keseluruhan konteks pemulihan ketika membuat persiapan menghadapi pilihan raya.
Ditanya mengenai bila pilihan raya boleh diadakan, Khairy mengulangi pendiriannya bahawa apa yang penting adalah pemulihan dalam ekonomi serta kesihatan umum.
“Perlu ada momentum. Kita baru saja melihat permulaan pemulihan. Dan keduanya, adakah benar-benar ada keperluan besar untuk mengadakan pilihan raya segera. Saya tidak fikir begitu. Tapi sudah pasti ramai yang menyatakan mengenai kestabilan politik. Kemenangan mutlak. Ya, tapi apa bezanya antara pilihan raya pada tahun ini atau tahun depan?.
Khairy turut menghantar mesej tegas kepada mereka yang menyatakan ‘mari kita adakan pilihan raya sekarang.’
“Saya tidak fikir mereka yang mahukan pilihan raya adalah orang yang memikirkan aspek membuat persiapan jentera pilihan raya dan sumber,dengan orang yang betul, dengan barisan calon yang betul untuk bertanding dalam pilihan raya.
“Ini bukan pilihan raya negeri. Ini pilihan raya umum. Ia perkara serius dan saya fikir PM (perdana menteri) arif bahawa kita perlu masa untuk mempersiapkan diri kita demi negara serta parti.
“Mesej saya kepada rakyat yang juga pemimpin parti kita, yang menyatakan kita perlu mengadakan pilihan raya sekarang iaitu kami hormati pandangan anda, membubarkan parlimen adalah budi bicara perdana menteri,” katanya.- BERNAMA