3 JUN: Perjanjian persefahaman (MoU) Transformasi dan Kestabilan Politik mengenai sokongan pembangkang ke atas Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob tidak mempunyai tarikh akhir khusus.
Ahli Jawatankuasa Rundingan dan Pelaksana MoU berkenaan, Tan Sri Annuar Musa berkata selain itu, tarikh pilihan raya telah dipersetujui tidak akan diadakan sebelum akhir Julai ini.
“MoU tidak tamat. Banyak pihak yang salah faham mengenai MoU terbabit yang kononnya akan tamat pada penghujung Julai ini.
“Perkara yang mempunyai tarikh itu adalah pilihan raya dipersetujui tidak akan diadakan sebelum akhir Julai ini, manakala MoU di antara ahli-ahli Parlimen termasuk pembangkang dengan kerajaan khususnya Perdana Menteri tidak mempunyai tarikh tamat.
“Ia adalah suatu MoU memberi sokongan ke atas Perdana Menteri sehinggalah Parlimen dibubarkan. Fakta itu harus difahami.
“Apabila Parlimen dibubarkan, terpulang kepada Perdana Menteri serta pimpinan politik untuk menentukan pilihan raya umum (PRU),” katanya pada majlis makan malam sempena Mesyuarat Majlis Ekonomi Digital, Industri Kreatif dan Komunikasi (MEDIKK), di Kota Kinabalu, malam tadi.
Sementara itu, Annuar juga bersetuju supaya PRU tidak diadakan terlalu lewat bagi mengelakkan pihak yang bersaing dengan Barisan Nasional (BN) mendapat kelebihan.