4 JUN : Keluarga Malaysia diseru agar menerapkan budaya membaca bagi melahirkan masyarakat yang bertamadun, berilmu pengetahuan dan berkeperibadian unggul.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, bangsa yang berjaya adalah mereka yang membaca, justeru dalam usaha memandaikan bangsa, budaya membaca harus dipupuk secara berterusan.
“Bagi umat Islam, membaca merupakan perkara yang diutamakan, malah perkataan ‘Iqra’ (bermaksud ‘bacalah’) merupakan perintah yang menjadi wahyu al-Quran pertama dalam risalah nubuwwah (kenabian).
“Perintah ini bukan sekadar merujuk kepada membaca kitab suci semata-mata tetapi juga kewajipan menerokai gedung ilmu. Jadi, membaca sebenarnya perlu dilihat dalam konteks yang lebih luas.
“Lagipun, bukankah al-Quran itu sendiri merupakan sumber pelbagai ilmu seperti sains ketuhanan, sosial sains, sains natural dan ilmu kerohanian?,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika berucap dalam majlis perasmian Pesta Buku Antarabangsa Kuala Lumpur (PBAKL) 2022 kali ke 39 di Pusat Dagangan Dunia Kuala Lumpur (WTCKL).
Tambah beliau lagi, penulis dan juga ulama terkenal di Nusantara ini, buya Hamka atau nama sebenar Haji Abdul Malik bin Abdul Karim Amrullah dipetik sebagai berkata, “Membaca buku-buku yang baik juga ibarat memberi makanan rohani yang baik.”
Pembangunan sesebuah negara kata Ismail Sabri lagi, turut bergantung kepada rakyatnya yang berpengetahuan, berfikiran positif, rajin dan berdaya saing.
“Ketika berada di Jepun bagi lawatan kerja ke Jepun minggu lalu, saya dapat lihat sikap cintakan ilmu bukan sahaja dari kalangan anak muda, malah golongan dewasa juga mempunyai sikap yang sama,” ujarnya.
Sehubungan itu, Kerajaan menurut beliau akan terus menyokong PBAKL, pesta-pesta buku, serta sebarang aktiviti penerbitan buku sebagai perusahaan pendidikan dan budaya bagi memperkukuh budaya membaca Keluarga Malaysia.
Ismail Sabri turut meminta Kementerian Pendidikan Malaysia, melalui MBKM dan agensi berkaitan melaksanakan usaha yang lebih giat bagi memajukan lagi industri penerbitan buku tempatan dan menggalakkan aktiviti-aktiviti yang berkaitan dengannya.
“PBAKL merupakan pesta buku terbesar negara yang mampu menjadi pemangkin kepada perkembangan industri buku dan memupuk budaya membaca serta mewujudkan masyarakat celik ilmu
“Ingatlah, kegagalan kita mengekalkan budaya membaca bukan hanya menjejaskan dan menghancurkan usaha Kerajaan membina sebuah negara bangsa yang berjaya, tetapi juga ‘membunuh’ bukan hanya industri buku tetapi juga karyawan-karyawannya,” katanya lagi.