4 JUN : Tentera junta Myanmar membakar ratusan bangunan semasa serbuan tiga hari di utara negara itu, di kampung Kinn, Upper Kinn dan Ke Taung minggu lalu ketika tentera bergelut untuk menghancurkan penentangan terhadap pemerintahannya.
Penduduk kampung di Kinn pada Mei lalu melarikan diri ketika askar menghampiri dan mula menembak ke udara.
Wilayah Sagaing menyaksikan pertempuran sengit dan tindak balas berdarah sejak rampasan kuasa tahun lalu, dengan anggota Pasukan Pertahanan Rakyat (PDF) tempatan sering bertempur dengan tentera junta.
Sementara itu, rakaman dron menunjukkan asap berkepul naik dari kampung-kampung yang terletak di sepanjang kira-kira lapan kilometer di sungai Chindwin.
Imej satelit dari agensi angkasa Amerika Syarikat (NASA) turut menunjukkan kebakaran di lokasi yang sepadan dengan kampung Ke Taung dan Kinn minggu lalu. Junta sebelum ini menolak dakwaan tenteranya telah membakar rumah, menuduh pejuang PDF sebagai pengganas kerana memulakan kebakaran.
Dalam ucapan Selasa lalu, ketua junta, Min Aung Hlaing, berkata usaha telah dibuat untuk meminimumkan korban dalam serangan balas terhadap tindakan keganasan.