3 JUN : Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang pertama kali menyertai ranking Times Higher Education (THE) Universiti Asia berjaya mencapai kedudukan di tangga ke-164.
Menurut Naib Canselornya, Profesor Datuk Dr Md Amin Md Taff menerusi satu kenyataan, berkata pencapaian ini membuktikan bahawa UPSI komited dalam memastikan kecemerlangan kualiti pendidikan dan guru yang dihasilkan di Malaysia.
Katanya, UPSI bergerak proaktif dalam membangunkan pedagogi dan penyelidikan berkaitan pendidikan, sekali gus menjadi pemangkin terhadap dunia pendidikan negara.
“Lima kriteria utama diambil kira bagi menilai kedudukan menerusi pengajaran, penyelidikan, petikan ilmiah, pandangan antarabangsa dan pendapatan industri,” katanya.
Md Amin berkata, menerusi pencapaian yang membanggakan itu, UPSI berhasrat untuk terus komited dalam menghasilkan graduan pendidikan berkualiti selaras hasrat dan keperluan negara.
Sejak ditubuhkan pada 1997, katanya, UPSI melahirkan lebih 90,000 graduan pendidikan yang berkhidmat di seluruh negara.