5 JUN: Penduduk di Timur Filipina panik apabila bandar tersebut bertukar gelap dan dilitupi abu setelah sebuah gunung berapi meletus serta mengeluarkan awan gelap.
Letupan dari gunung berapi Bulusan di wilayah luar bandar Sorsogon berlangsung kira-kira 17 minit, menyebabkan kepulan kelabu setinggi sekurang-kurangnya satu kilometer (km), menurut Institut Vulkanologi dan Seismologi Filipina.
Sebagai tindak balas, pihak berkuasa menaikkan amaran kepada satu pada sistem 5 peringkat, menunjukkan ‘pergolakan peringkat rendah’.
“Terdapat letusan freatik gunung berapi Bulusan, bermakna letupan itu disebabkan oleh air mendidih di bawah kawah,” kata ketua institut Renato Solidum kepada radio tempatan DZBB.
Institut itu berkata, abu menjejaskan dua bandar di Sorsogon, kira-kira 500km di selatan ibu negara Manila, tetapi tiada laporan segera mengenai kecederaan.
Di bandar Juban, dua kampung mengalami ‘sifar pandangan’ akibat abu tebal dan sebuah trak bomba dikerahkan untuk membersihkan kawasan itu, kata kakitangan pejabat bencana Dennis Despabiladeras.
“Pemindahan sedang berjalan di sana, tetapi keutamaan kami adalah warga emas dan mereka yang menghidap asma,” katanya kepada AFP.
Pihak berkuasa lapangan terbang Manila berkata, tiada penerbangan terjejas akibat letusan itu setakat ini, walaupun juruterbang telah diberi amaran jika berada berdekatan kawasan itu.