PM tidak mahu dahului kuasa Agong umum PRU-15
5 JUN: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob menegaskan tidak mahu mendahului kuasa Yang di-Pertuan Agong berhubung pengumuman tarikh Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU-15).
Beliau berkata keputusan menasihati Yang di-Pertuan Agong untuk membubarkan Parlimen adalah atas budi bicara beliau, namun kata putus terakhir mengenainya masih di tangan baginda.
Sehubungan itu, beliau menyifatkan tindakan DAP yang membuat desakan mengenai tempoh pelaksanaan PRU-15 seolah-olah tidak menghormati peranan dan kuasa Yang di-Pertuan Agong.
“Pelaksanaan PRU akan dibincangkan dengan lima pimpinan tertinggi UMNO, dibawa ke Biro Politik Majlis Tertinggi UMNO dan mesyuarat Dewan Tertinggi Barisan Nasional (BN), sebelum bincangkan di dalam Kabinet.
“Kabinet (kemudian) akan berikan mandat kepada saya untuk menghadap Yang di-Pertuan Agong dan menasihati baginda, namun kuasa terakhir adalah di tangan Yang di-Pertuan Agong,” katanya kepada media selepas menyempurnakan pelancaran sambutan Hari Alam Sekitar Sedunia di Taman Tugu di Kuala Lumpur, hari ini.
Beliau berkata demikian mengulas kenyataan Setiausaha Agung DAP, Anthony Loke, yang menyifatkan Perdana Menteri menyampaikan mesej ‘flip-flop’ berkenaan pelaksanaan PRU-15.
Dalam pada itu, beliau berkata kerajaan belum membuat keputusan mengenai pelaksanaan semula cukai barang dan perkhidmatan (GST), kerana ia masih di peringkat kajian.
Menurutnya, kerajaan akan mengkaji aspek pelaksanaan semula GST secara menyeluruh, khususnya sama ada sistem percukaian itu akan melonjakkan harga barang serta tempoh sesuai jika ia akan dilaksanakan.
Sehubungan itu, beliau menasihati semua pihak bertenang dan tidak melatah dalam soal pelaksanaan semula GST dan berjanji mendedahkan perkara itu secara telus apabila tiba masanya.