5 JUN: Mayat seorang wanita yang hamil tujuh bulan ditemui dengan kesan tembakan pada perut dalam sebuah kereta di tepi jalan di Kampung Repek, Pasir Mas, petang semalam.
Mangsa Farrah Emirah Mazlan berusia 26 tahun ditemui jam 4 petang oleh orang awam sebelum memaklumkan kepada polis.
Pemangku Ketua Polis Kelantan, Datuk Muhamad Zaki Harun, berkata mangsa yang bekerja sebagai peniaga ditemui terbaring di tempat duduk pemandu.
“Pemeriksaan mendapati, terdapat kesan tembakan pada perut kiri mangsa dan ibu mangsa memaklumkan wanita itu mengandung tujuh bulan.
“Hasil temubual saksi juga mendapati kenderaan jenis Nissan Cefiro itu diletakkan di tepi jalan sejak petang kelmarin.
“Terdapat satu kelongsong peluru ditemui di bahagian kaki tempat duduk penumpang belakang sebelah pemandu. Semakan awal mendapati, kenderaan itu didaftarkan atas nama mangsa sendiri.
“Mayat kemudian dihantar ke Hospital Pasir Mas (HPM) untuk bedah siasat,” katanya menerusi kenyataan media, hari ini.
Muhamad Zaki berkata, polis telah menahan seorang lelaki berusia 40 tahun jam 11.30 malam tadi di Pasir Mas dan kes disiasat mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.
Sementara itu, nenek mangsa, Zawiyah Sulong, 68, berkata, arwah merupakan ibu tunggal dan mempunyai tiga anak berusia tiga hingga 10 tahun.
Katanya, mangsa berpisah dengan suami pada Februari lalu ketiga-tiga anak mereka dijaga oleh Farrah Emirah.
“Lebih memeritkan lagi apabila terkenangkan cicit yang masih kecil dan mereka belum mengetahui ibu sudah meninggal dunia,” katanya kepada pemberita ketika ditemui di Unit Forensik Hospital Pasir Mas pada Sabtu.
Menurutnya, kali terakhir dia bertemu Farrah Emirah pada Jumaat malam, sebelum cucunya itu keluar dari rumah untuk berurut.
Katanya, arwah sempat meminta kain batik sarung selain tertinggal kunci kereta sebelum berpatah balik ke dalam rumah untuk mengambilnya.
Zawiyah berkata, dia mula bimbang keadaan Farrah Emirah apabila cucunya tidak pulang selepas jam 10.30 malam Jumaat.
“Saya beberapa kali membuat panggilan telefon namun dia gagal dihubungi.
Disyorkan artikel ini:
Wanita hamil tujuh bulan maut ditembak di perut
Ibu dikerat 15, dibuang dalam tangki kumbahan
‘Gunting rambut termaktub dalam undang-undang sekolah’
Bergaduh rebut teman wanita: Tiga lagi suspek diburu
“Sehinggalah pada esoknya (Sabtu) saya bawa ketiga-tiga cicit menaiki kereta bersama anak ke beberapa lokasi di sekitar Pasir Mas dan Rantau Panjang mencari Farrah Emirah tetapi gagal,” katanya.
Menurutnya, pada jam 4.30 petang ada penduduk datang ke rumah di Bukit Lata, Rantau Panjang memberitahu arwah yang ditemui tidak sedarkan diri dalam kereta di Kampung Teresek, Repek.
Dia terus bergegas ke lokasi dan luluh hatinya apabila melihat Farrah Emirah sudah tiada dan bahagian perut dipenuhi darah.
Katanya, sebelum kejadian itu Farrah Emirah ada membuat pemeriksaan kandungan dan gembira memaklumkan yang dia sedang mengandung bayi lelaki.
Zawiyah berkata, pemergian cucunya itu sangat tragis dan berharap pihak berkuasa dapat mencari pelaku yang sanggup melakukan sedemikian kepada cucunya yang sedang sarat mengandung.
“Selepas urusan bedah siasat siap dijalankan, jenazah akan dikebumikan di kampung sebelah ibunya di Chenerai, Chetok,” katanya.