7 JUN : Gelombang kemarahan semakin meluas di Asia Barat ekoran kenyataan menghina Nabi Muhammad SAW oleh Nupur Sharma, pegawai parti pemerintah apabila pelbagai negara mengutuk sekeras-kerasnya kenyataan berkenaan dan memanggil perwakilan New Delhi.
Di Kuwait, pekerja pasar raya memunggah teh serta produk lain buatan India, keluar dari rak jualan bagi membantah kenyataan itu yang disifatkan sebagai ‘Islamofobia’.
Di Koperasi Al-Ardiya yang terletak di luar Kuwait City, guni beras dan rak rempah serta cili ditutup dengan pelitup plastik.
Emiriah Arab Bersatu (UAE) muncul antara negara terkini mengecam kenyataan itu, dengan menegaskan ia ‘bertentangan dengan prinsip serta nilai moral dan kemanusiaan.’
Kementerian Luar UAE menekankan akan ‘perlunya menghormati simbol agama dan menentang ucapan kebencian’, lapor agensi berita WAM.
Arab Saudi, Qatar bersama negara lain di rantau ini serta Universiti Al-Azhar di Kaherah turut membidas kenyataan dikeluarkan Nupur Sharma, iaitu jurucakap Parti Bharatiya Janata (BJP) yang juga parti pemerintah dianggotai Perdana Menteri India, Narendra Modi.
Ketua Pegawai Eksekutif kedai itu, Nasser Al-Mutairi, menegaskan kepada AFP: “Kami sebagai umat Islam di Kuwait, tidak menerima penghinaan terhadap Nabi Muhammad SAW.”
Kenyataan Sharma yang ke udara melalui televisyen, minggu lalu, mencetuskan bantahan dan kemarahan umat Islam di India serta pelbagai negara Islam, malah ramai menuntut wanita itu ditahan.
BJP yang sering dituduh bertindak ke atas golongan minoriti Muslim di India, menggantung Sharma kerana ‘memberi pandangan bertentangan pendirian parti.’
Ahad lalu, Qatar menuntut India memohon maaf atas kenyataan berbaur ‘Islamofobia’ itu ketika Naib Presiden India, Venkaiah Naidu, melawat negara berkenaan dalam usaha meningkatkan perdagangan.
Iran juga menyusuli langkah Qatar dan Kuwait dengan memanggil Duta India bagi mengemukakan bantahan oleh kerajaan serta rakyat, lapor agensi berita IRNA.
Universiti Al-Azhar pula menyifatkan kenyataan itu sebagai ‘keganasan sebenar’ dan ‘boleh menjerumuskan seluruh dunia ke dalam krisis serta peperangan yang membawa maut.’
Liga Dunia Islam yang berpangkalan di Arab Saudi menegaskan, kenyataan berkenaan boleh ‘menghasut kebencian’, manakala Presiden Besar Hal Ehwal Masjidil Haram dan Masjid Nabawi menyifatkannya sebagai ‘perbuatan keji.’
Majlis Kerjasama Teluk yang dianggotai enam negara Teluk juga ‘mengutuk, menolak dan mengecam’ kenyataan Sharma.